Monday, November 11, 2019

Program Merakyatkan Seni Budaya Tahun 2019

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


Baru-baru ini, Faries berkesempatan hadir ke Program " Merakyatkan Seni Budaya" yang dianjurkan oleh Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun  bertempat di The Summit USJ. Program ini buat kali pertama diadakan dihadiri oleh tetamu kehormat Datuk Abdul Rashid Bin Asari yang merupakan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan.

Semasa majlis ini berlangsung, Datuk Abdul Rashid mengucapkan syabas dan tahniah kepada  Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun kerana telah berjaya menganjurkan program ini secara bersepadu melibatkan kerjasama pelbagai rakan strategik terdiri daripada jabatan dan agensi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Penganjuran program melalui kerjasama strategik seperti ini amat digalakkan sebagaimana yang disarankan oleh Kerajaan dalam usaha memastikan setiap program yang dilaksanakan memberi nilai tambah dan impak positif kepada masyarakat secara keseluruhannya. 


Untuk pengetahuan semua, Negeri Selangor merupakan salah sebuah negeri yang mempunyai keunikan seni dan budaya, sejarah gemilang pada masa lampau dan track-record yang terus maju ke hadapan. Pemerkasaan program seni kebudayaan yang berteraskan elemen tradisi dan warisan adalah amat wajar untuk disemarakkan supaya ianya tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas. Lebih banyak butiran seni budaya yang boleh dan akan diketengahkan dan dipromosikan sebagai produk pelancongan di Negeri Selangor.


Malaysia merupakan negara majmuk yang ditunjangi oleh masyarakat dari pelbagai latar belakang budaya, adat resam dan lain-lain yang menjadi asas pengukuhan perpaduan pada peringkat kebangsaan. Selain itu, tugas memperkasakan bidang kebudayaan ini menjadi tanggungjawab bersama sama ada diperingkat Kerajaan Persekutuan, Negeri dan NGO melalui program-program pengembangan budaya yang lebih berkesan. Ia perlu dirancang dengan rapi dan dilaksanakan dengan teratur melalui penglibatan sektor pendidikan, pelancongan dan lain-lain yang berkaitan bagi memastikan seni, budaya dan warisan terus kekal relevan dan diwarisi sebagai satu kebudayaan yang bernilai oleh generasi akan datang.



Faries menyokong penuh usaha yang dibawakan untuk memperkasakan seni budaya yang terdapat di negara tercinta kita ini. Usaha seperti ini diperlukan bagi mengekalkan dan memelihara kesnian dan budaya dinegara ini.